Seronoknya membaca! : Tawarikh Cinta


Tawarikh Cinta mengisahkan pencarian naskah asal Kitab Gemala Sakti yang menjadi lambang keunggulan dan maruah negeri Ujana Madani. Putera Mahkota iaitu Putera Jauhari Firus, adindanya Puteri Cempaka Wilis dan Wazir Syamsul Azmi berusaha keras memikirkan cara terbaik menjejaki kembali naskah asal kitab ini. Sebelum itu mereka bertiga telah bermimpi bertemu dengan pemerintah Ujana Madani yang merupakan nenda kepada Putera Jauhari Firus dan Puteri Cempaka Wilis yang meminta mereka mencari kembali naskah asal. Setiap daripada mereka diberi ‘hint’ atau ‘clue’ yang berbeza.

Akhirnya setelah dilakukan kajian dan pencarian di dalam khutubkhanah istana, mereka akhirnya berjumpa dengan penyelesaiannya. Maka Putera Jauhari Firus bersama dua orang kesatria yang paling dipercayai pergi merentasi masa untuk mengambil seseorang dari zaman yang lain bagi membantu mereka. Ratu Hassanal Ridhwan Tempawan Kesuma berkata hanya orang yang cendekia sahaja yang mampu membaca dan mentafsir kitab ini. Hal ini membuatkan saya terfikir apa sebenarnya kandungan kitab ini? Dan mengapa kitab ini begitu penting kepada kerajaan Ujana Madani?

Kerajaan Ujana Madani dicemburui kekuatan dan kemakmurannya oleh negeri-negeri lain. Serangan demi serangan dilakukan untuk memusnahkan Ujana Madani. Serangan pertama datang dari Danawa Petala. Kitab Gemala Sakti berjaya dicuri dan Raja Tunturan yang memerintah Danawa Petala mengambil kesempatan menabur wang emas kepada rakyat dan membeli khazanah-khazanah yang ada dan dimusnahkan sehingga menjadi abu. Dikhabarkan bahawa Kitab Gemala Sakti ini pembuatannya dibuat dengan teliti dan bahan buatannya sendiri adalah daripada bahan yang istimewa dan tahan lama.

Siapakah cendekia yang amat mereka nantikan ini? Dia ialah Nadim, seorang kanak-kanak yang bakal dihukum mati oleh Raja Temasik ekoran ideanya meletakkan batang pokok pisang sebagai benteng pertahanan di tepi pantai. Hal ini kerana, sebelum itu banyak kejadian penduduk kampung yang mati akibat diserang todak.

Dalam masa yang sama, berlaku konspirasi di dalam istana sendiri secara tersembunyi yang ingin menggulingkan putera mahkota dan mengambil alih takhta pemerintahan. Keadaan ini sangat membimbangkan. Setelah Nadim berjaya diselamatkan, perancangan demi perancangan dibuat dengan teliti dan dilaksanakan satu persatu. Rupa-rupanya kitab ini berada di Temasik. Selepas cukup persiapan dibuat, mereka kembali semula ke Temasik untuk mengambil Kitab Gemala Sakti. Kali ini pemergian putera mahkota tidak diiringi oleh sesiapa kecuali Nadim.

Dalam masa yang sama, istana diserang oleh penjahat dari negara jiran. Seluruh istana dipukau dan mujurlah Puteri Cempaka Wilis tidak terkena akan pukau tersebut. Baginda puteri hampir berjaya ditawan tetapi pertolongan Allah datang kepada baginda. Akhirnya para penjahat itu berjaya ditangkap dan mereka tumpas. Manakala tengku mahkota berserta Nadim menghadapi serangan daripada tentera Majapahit (sewaktu mereka tiba ke Temasik, tentera Majapahit sedang menyerang Negara tersebut). Adakah mereka berjaya mengambil kembali kitab asal tersebut? Dan adakah mereka sempat kembali semula ke zaman Ujana Madani?

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Lawatan Sambil Belajar ke PERPUSTAM (Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka)

Aktiviti Teka Bilangan Muka Surat Buku (",)